Berbasikal Sarawak Tamat Saingan Dengan 3 Emas, 4 Gangsa
SELANGOR: Pasukan berbasikal Sarawak menutup cabaran pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila membawa pulang keseluruhan tiga pingat emas dan empat gangsa menerusi saingan MTB, lebuh raya, BMX dan trek.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Berbasikal, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha kolektif seluruh pasukan termasuk atlet, jurulatih, penolong jurulatih, pengurus serta kru sokongan.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan hanya dinilai berdasarkan prestasi atlet ketika bertanding, sebaliknya turut mencerminkan latihan berterusan, disiplin, pengorbanan serta kerjasama erat seluruh pasukan sepanjang persiapan menghadapi temasya berkenaan.
“Saya amat bangga dengan seluruh pasukan. Kejayaan ini bukan sahaja hasil daripada prestasi para atlet ketika berlumba dalam acara MTB, lebuh raya, BMX dan trek, tetapi juga hasil latihan, disiplin, pengorbanan dan kerjasama seluruh pasukan yang telah bersama-sama mengharumkan nama Sarawak,” katanya kepada UKAS pada Ahad.
Beliau berharap pencapaian tiga emas dan empat gangsa itu menjadi detik bermakna buat pasukan berbasikal Sarawak, selain dijadikan pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
Katanya, pasukan itu tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan semasa, sebaliknya perlu terus memperbaiki kelemahan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran lebih besar.
“Perjalanan kita tidak berhenti di sini. Kita mesti terus berlatih, memperbaiki kelemahan dan menjadi lebih kuat bagi menghadapi SUKMA akan datang di Kelantan dan kejohanan-kejohanan seterusnya.
“Tahniah Team Berbasikal Sarawak. Anda telah membuat Sarawak bangga. Agi Idup Agi Ngelaban!” katanya.-EDISI UKAS