KUCHING: Sarawak menyusun ekosistem kecerdasan buatan (AI) yang lebih menyeluruh bagi melahirkan generasi tempatan yang bukan sekadar menggunakan teknologi, malah mampu membangunkan penyelesaian AI sendiri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, usaha memperkukuh bakat dan ekosistem AI tempatan perlu dimulakan melalui pendedahan, kemahiran praktikal serta jaringan dengan pemain industri.
Menurutnya, Program ‘AI For Makers’ sempena ‘Borneo Makers Festival’ menjadi antara platform untuk memperkasa anak Sarawak dalam bidang berkenaan menerusi kolaborasi antara Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC).
“Bagi merealisasikan visi ini, tiga pendekatan teras akan dilaksanakan iaitu meningkatkan kesedaran dan literasi AI masyarakat, memupuk kemahiran praktikal menerusi AI Builders Club dan TEGAS sebagai AI Talent Hub iaitu pusat perkongsian ilmu bersama pakar industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di TEGAS Digital Village, di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi TEGAS menambah, pengisian program diperkasakan menerusi AI Talk, Forum & Spotlight, AI Skills & Tools Workshops serta AI Exhibition & Experience, termasuk zon pandu uji AI (Test Drive Zone).
“Turut diadakan ialah Pertandingan AI Code Hackathon dan AI Create/Creative yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu peringkat sekolah dan universiti, melibatkan keseluruhan 20 pasukan dengan penyertaan 60 peserta,” katanya.
Tambah beliau lagi, pendekatan berkenaan penting bagi membina komuniti pengamal AI yang kukuh di seluruh Sarawak, selain memberi ruang kepada bakat muda meneroka teknologi melalui pengalaman sebenar.
Beliau berkata, transformasi digital negeri tidak boleh bergantung kepada penyediaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu disokong modal insan yang mempunyai kemahiran untuk menguasai dan membangunkan teknologi tersebut.
Program berkenaan menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pengunjung sepanjang dua hari, melibatkan pelajar, pendidik, penuntut universiti dan kolej, agensi kerajaan, usahawan, orang awam serta rakan strategik TEGAS dan SAIC.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi TEGAS, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Setiausaha TEGAS, Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Bendahari TEGAS, Datuk Snowdan Lawan, Ahli-Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini