Audi Zulkarnien Raih Perak Gimnastik Artistik Buat Sarawak
SELANGOR: Atlet gimnastik artistik Sarawak, Audi Zulkarnien menghadiahkan pingat perak buat Bumi Kenyalang menerusi acara Individu Senam Lantai Wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM pada Ahad.
Audi mempamerkan persembahan kemas dalam aksi final apabila mengumpul 11.500 mata, hasil 4.300 mata bagi tahap kesukaran dan 7.200 mata pelaksanaan tanpa sebarang penalti.
Pingat emas menjadi milik wakil Perak, Yeap Kang Xian yang mencatat 12.533 mata, hasil 4.800 mata tahap kesukaran dan 7.733 mata pelaksanaan.
Sementara itu, dua pingat gangsa diberikan selepas Cadence Teh Zi Qi dari Selangor dan Marissa Zaiful Azian dari Wilayah Persekutuan masing-masing mencatat keputusan sama 11.333 mata.
Kejayaan Audi sekali gus menambah koleksi pingat kontinjen Sarawak menerusi sukan gimnastik artistik pada temasya kali ini.-EDISI UKAS