Pertandingan Badminton Piala YB Dato Idris Buang Medan Cungkil Bakat Baharu Di Muara Tuang
KOTA SAMARAHAN: Pertandingan Badminton Piala YB Dato Idris Buang menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton, khususnya dalam kalangan masyarakat di kawasan Muara Tuang dan Samarahan.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang berkata, penganjuran pertandingan tersebut bukan sahaja menyemarakkan budaya bersukan, malah membuka peluang kepada bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Mana tahu satu hari nanti ada Lee Chong Wei yang tampil ke hadapan daripada Muara Tuang. Jadi, saya berharap semua terus bersukan dengan semangat yang tinggi dan gigih,” katanya ketika merasmikan pertandingan berkenaan di Dewan IADA, di sini pada Sabtu.
Dato Idris menambah, penglibatan dalam sukan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah mampu membentuk jati diri, disiplin serta semangat untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari bermula 22 hingga 23 Ogos itu dianjurkan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Muara Tuang bersama Kelab Sukan dan Rekreasi Sanchez serta Pusat Khidmat DUN Muara Tuang.
Ia mempertandingkan empat kategori iaitu Veteran (Tertutup Samarahan), Beregu Wanita (Tertutup Samarahan), Age Group (Terbuka Seluruh Sarawak) dan Novis (Tertutup Samarahan). -EDISI UKAS