RM2.8 Juta MRP Disalur Perkasa Aktiviti Masyarakat Di Asajaya
ASAJAYA: Sebanyak RM2.8 juta diperuntukkan menerusi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, keagamaan, persatuan dan kelab di kawasan Asajaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada pelbagai badan aktif termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), masjid, surau, gereja, kuil, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tadika, taska serta persatuan dan kelab.
Menurutnya, peruntukan MRP merupakan bantuan bagi membolehkan badan-badan berkenaan melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli dan masyarakat setempat.
“Harapan saya apa-apa peruntukan yang diberi, sumbangan yang diberi, ia dapat digunakan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan peruntukan MRP di Dewan Pejabat Daerah Asajaya, di sini pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, dalam sektor pendidikan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya dan SMK Hajah Laila Taib masing-masing menerima RM100,000 setahun kepada PIBG bagi menyokong aktiviti pendidikan dan pembangunan pelajar.
Tambahnya, pelajar cemerlang dari Asajaya yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi turut menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban pendaftaran dan permulaan pengajian.
Selain itu ujarnya, sebanyak RM500,000 diperuntukkan melalui Projek MRP Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak bagi fasa pertama melibatkan 35 penerima, dengan tumpuan kepada kerja-kerja penambahbaikan rumah golongan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, pembangunan infrastruktur di kawasan Asajaya turut menerima kira-kira RM5 juta menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi melaksanakan projek seperti naik taraf jalan, parit konkrit, dewan, gelanggang futsal dan padang bola.
Jelasnya, pendekatan pembangunan secara berperingkat turut diberi penekanan bagi memastikan keperluan kampung-kampung dapat dipertimbangkan secara adil berdasarkan permintaan masyarakat dan keutamaan pembangunan setempat.
“Penyaluran peruntukan tersebut dilihat memberi sokongan kepada usaha memperkukuh aktiviti akar umbi, pendidikan, kebajikan golongan memerlukan serta penyediaan kemudahan yang dapat meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan Asajaya,” ujar beliau. -EDISI UKAS