Acara 5KM Fun Run Sempena Karnival Kesihatan Padawan 2026 Terima Sambutan Hangat
PADAWAN: Acara 5KM Fun Run sempena Karnival Kesihatan Padawan 2026 mendapat sambutan hangat dengan penyertaan kira-kira 200 peserta yang berlangsung di Dewan Made Katib, St Philip Padawan, di sini pada Sabtu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, penganjuran acara berkenaan merupakan langkah baik dalam memupuk budaya bersukan serta menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Penganjuran 5KM Fun Run pada hari ini merupakan satu langkah yang amat baik dalam memupuk budaya bersukan dan menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya.
Tambahnya, tahap kesihatan yang baik membolehkan seseorang melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga, pekerjaan dan masyarakat dengan lebih berkesan.
Selain 5KM Fun Run, karnival turut menyediakan pelbagai aktiviti termasuk saringan kesihatan, pameran kesihatan, pemeriksaan dan konsultasi doktor gigi, jualan ramah, pertandingan melukis kanak-kanak serta cabutan tiket bertuah.
Datuk Dr Jerip berharap karnival tersebut dapat memperkukuh kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat Padawan serta menjadi titik tolak kepada pembentukan komuniti yang lebih sihat, cergas, prihatin dan sejahtera. -EDISI UKAS