Premier Sarawak Sertai PMX ke Istana Nurul Iman, Perkukuh Hubungan Sarawak-Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyertai delegasi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Istana Nurul Iman pada Sabtu bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
Penyertaan Premier Sarawak dalam lawatan kerja tersebut mencerminkan kepentingan hubungan Sarawak-Brunei, khususnya dalam memperkukuh kerjasama strategik merangkumi sektor tenaga, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi, pertanian dan pelancongan.
ALC-27 yang mempertemukan Dato’ Seri Anwar dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah turut menjadi platform bagi membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama serta memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Brunei.
Antara kerjasama yang terus berkembang ialah dalam sektor tenaga menerusi Projek Interkoneksi Tudan-Lumut (SPARK) antara Sarawak Energy dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik Brunei.
Turut menyertai delegasi tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut menerima Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (DK) daripada Sultan Brunei. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Gambar: Pejabat Premier Sarawak