Malaysia-Brunei Sasar Muktamad Parameter Asas Persempadanan Libat Sarawak Sebelum Akhir Tahun
BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam menyasarkan parameter asas penyelesaian isu persempadanan kedua-dua negara yang melibatkan Sarawak dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman awal yang baik telah dicapai dalam usaha menyelesaikan pertindihan serta tuntutan yang masih belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.
“Saya telah memohon perkenan Sultan Brunei supaya Menteri Luar kedua-dua negara segera mengadakan pertemuan bersama pasukan masing-masing supaya pertindihan dan tuntutan itu dapat dileraikan.
“Walaupun pada peringkat awal masing-masing merasakan sasaran perlu ditetapkan pada awal tahun depan, saya dan Sultan Brunei berpandangan sekurang-kurangnya parameter asas itu boleh diselesaikan sebelum akhir tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei Darussalam di sini pada Sabtu.
Tambah Dato’ Seri Anwar, isu persempadanan berkenaan turut melibatkan kawasan dan kepentingan Sarawak, justeru penglibatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg penting bagi memastikan kepentingan Sarawak dan Malaysia dipertahankan sepenuhnya.
Pada masa sama, beliau berkata kerjasama rentas sempadan khususnya melibatkan urusan imigresen dan kastam perlu dipertingkatkan bagi memudahkan pergerakan rakyat serta aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
“Kita telah meminta jawatankuasa teknikal masing-masing di peringkat agensi pusat, dengan kerjasama terutama Sarawak, supaya proses ini dapat dipercepatkan dan mengurangkan proses panjang di tiga hingga empat tempat sebelum dapat memasuki mana-mana negeri, dalam konteks ini Sarawak dan Brunei Darussalam,” ujarnya.
Usaha itu, katanya, turut selari dengan hasrat memperkukuh hubungan pelancongan serta memudahkan pergerakan antara Brunei Darussalam, Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Gambar: Pejabat Premier Sarawak