BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam bersetuju menggunakan mekanisme ASEAN sebagai pendekatan menangani isu jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Sarawak.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dalam Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
“Kedua-dua kita bersetuju untuk menggunakan mekanisme ASEAN sebagai langkah yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri ALC-27 antara Malaysia dan Brunei Darussalam di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.
Pada Jumaat, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan memaklumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengutus surat kepada pihak berkaitan serta Sekretariat ASEAN berhubung isu tersebut.
Isu jerebu rentas sempadan itu turut mendapat perhatian susulan keadaan kualiti udara tidak sihat di Sarawak yang menyaksikan 591 sekolah ditutup sementara pada 20 hingga 21 Ogos lalu, sekali gus menunjukkan keperluan kerjasama serantau dalam menangani isu berkenaan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Gambar: Pejabat Premier Sarawak