Memancing Udang Galah Berpotensi Jadi Tarikan Rekreasi Lundu
LUNDU: Aktiviti memancing udang galah berpotensi dikembangkan sebagai salah satu tarikan rekreasi komuniti di sini dengan hampir 100 peserta menyertai Pertandingan Memancing Udang Galah N3 Tanjong Datu di Tebingan Lundu, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, sambutan menggalakkan terhadap pertandingan berkenaan menunjukkan aktiviti berasaskan sumber dan suasana semula jadi tempatan mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, penyertaan bukan sahaja melibatkan masyarakat setempat, malah turut menarik peminat memancing dari Kuching dan Sematan.
Katanya, perkembangan tersebut membuka ruang untuk aktiviti rekreasi seperti pertandingan memancing diperluaskan sebagai acara komuniti yang mampu menarik pengunjung dari luar kawasan.
“Penganjuran berkenaan turut menjadi medan pertemuan masyarakat termasuk peserta dari luar kawasan seperti Kuching dan Sematan, sekali gus mengeratkan kembali hubungan antara rakan dan kenalan yang mungkin sudah lama tidak bertemu,” katanya ketika berucap pada pertandingan berkenaan.
Beliau berkata, penganjuran secara berterusan dengan penglibatan lebih ramai peserta berpotensi menjadikan Tebingan Lundu sebagai lokasi aktiviti rekreasi yang lebih aktif.
Dalam pada itu, Azizul memuji komitmen peserta yang berdepan cuaca panas sepanjang pertandingan.
Beliau turut menyifatkan hasil tangkapan pada pertandingan kali ini sebagai memberangsangkan dan berharap program berkenaan dapat diteruskan dengan penyertaan lebih besar pada masa akan datang.
Menurutnya, selain memenuhi minat komuniti terhadap aktiviti memancing, penganjuran acara seumpama itu turut berpotensi mengetengahkan Lundu sebagai destinasi rekreasi berasaskan keunikan persekitaran setempat. -EDISI UKAS