SFC Perluas Pengurusan Populasi Buaya Menerusi Lesen Kutipan Telur
MIRI: Sarawak Forestry Corporation (SFC) menyediakan lesen mengutip telur buaya sebagai antara pendekatan untuk mengurus populasi reptilia berkenaan secara terkawal dan mampan.
Pegawai Hidupan Liar Seksyen Pengurusan Buaya SFC, Dr Mohd Izwan Zulaini Abdul Gani berkata inisiatif itu diperkenalkan sejak dua tahun lalu dan beberapa lesen telah dikeluarkan, namun sambutannya masih rendah.
Menurut beliau, SFC sedia bekerjasama dengan pemegang lesen untuk mengutip telur buaya dari habitat liar, khususnya di kawasan yang berpotensi mendatangkan risiko kepada keselamatan manusia.
“Selain lesen memburu, kita sebenarnya mempunyai lesen mengutip telur buaya yang mungkin masih belum diketahui ramai.
“Sudah ada beberapa permohonan dan lesen yang dikeluarkan, tetapi sambutannya masih rendah,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Antara Agensi Pengurusan Konflik Manusia–Buaya Bilangan 1 Tahun 2026 di Pejabat Residen Bahagian Miri baru-baru ini.
Dr Mohd Izwan memberitahu, SFC baru-baru ini menerima laporan mengenai penemuan sarang buaya di satu kawasan ladang kelapa sawit di Miri.
“Disebabkan tiada pemegang lesen yang bersedia mengutip telur berkenaan, SFC mengambil tindakan mengeluarkannya dari kawasan itu bagi mengurangkan risiko terhadap pekerja ladang dan penduduk sekitar.
“Apabila terdapat sarang, lazimnya buaya betina turut berada berdekatan dan keadaan itu boleh mendatangkan bahaya,” jelasnya.
Beliau berkata, Miri sebelum ini mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemegang lesen mengutip telur buaya yang bekerjasama dengan SFC untuk mengeluarkan telur dari habitat liar.
Mengulas mengenai pembiakan buaya, Dr Mohd Izwan yang mempunyai pengalaman hampir 15 tahun dalam pengurusan reptilia itu berkata, jumlah telur terbanyak yang pernah ditemuinya dalam sarang di Sarawak adalah kira-kira 70 biji.
Menurutnya, meskipun terdapat dakwaan bahawa seekor buaya mampu menghasilkan sehingga 100 telur, jumlah maksimum dianggarkan sekitar 80 biji berdasarkan pemerhatian di lapangan.
Beliau turut menjelaskan bahawa buaya betina perlu mengawan dengan buaya jantan untuk menghasilkan telur yang subur, manakala buaya betina yang tidak mengawan masih boleh bertelur tetapi telur berkenaan tidak akan menghasilkan anak buaya.
Katanya, pemahaman mengenai corak pembiakan buaya penting bagi membantu SFC menentukan kaedah pengurusan populasi yang bersesuaian, termasuk melalui kutipan telur secara berlesen di kawasan tertentu. -EDISI UKAS