KUCHING: Kos untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diberi perhatian bagi memastikan golongan muda yang berbakat tidak berdepan kekangan mendapatkan peralatan dan perisian yang diperlukan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, keperluan peranti berprestasi tinggi dan langganan aplikasi AI menjadikan kos untuk membangunkan kemahiran dalam bidang berkenaan semakin tinggi.
“Untuk perkara ini memang mereka memerlukan peralatan seperti komputer riba ‘gaming’ yang harganya boleh mencecah antara RM9,000 hingga RM15,000 atau mungkin lebih.
“Antara maklum balas yang kita terima ialah, selain komputer riba dan gajet, mereka juga perlu membeli serta melanggan aplikasi yang agak mahal kerana bayaran langganan dibuat dalam Dolar Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Program ‘AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026’ di TEGAS Digital Village di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah berkata maklum balas peserta ‘AI For Makers’ berhubung keperluan peralatan, perisian dan sokongan kewangan akan dibawa kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk diteliti.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pendekatan membangunkan bakat AI tidak seharusnya terhad kepada penyediaan pendidikan dan peranti asas semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan sebenar mereka untuk menghasilkan produk dan penyelesaian digital.
Datuk Abdullah yang juga Setiausaha Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) berkata, sokongan sedemikian penting bagi membolehkan bakat muda Sarawak terus mengembangkan kemahiran serta menghasilkan produk digital yang berpotensi dikomersialkan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, Ketua Pegawai Eksekutif Gig Venture Sdn Bhd, Khairul Ikhwan Zulkefly, Presiden Persatuan Kreatif AI Malaysia (PeKA), Azizan Rubaan, Pengarah WRNA DIGITAL Sdn Bhd, Muhammad Azim Idris dan Eksekutif Pentadbiran Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), Muhammad Haiqal Muhammad Morshidi. -EDISI UKAS