Sarawak Mahu Bina Ekosistem AI Untuk Kekalkan Bakat Tempatan
KUCHING: Sarawak mahu membina ekosistem teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang kukuh bagi memastikan bakat tempatan terus menetap, menyumbang serta mengembangkan kepakaran mereka di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pembangunan infrastruktur digital dan ekosistem teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha melahirkan lebih ramai pakar AI dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, Sarawak tidak mahu anak muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang digital terpaksa mencari peluang di luar negeri atau negara lain akibat kekurangan ekosistem yang menyokong perkembangan kerjaya mereka.
“Kita mahu anda terus berada di sini. Oleh itu, kita perlu membina satu ekosistem yang kondusif supaya golongan pakar dapat terus berkhidmat dan menyumbang di Sarawak. Bersama-sama, kita membangunkan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Program ‘AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026’ di TEGAS Digital Village di sini pada Isnin.
Datuk Abdullah mengulas lanjut, perkembangan AI kini tidak lagi boleh dilihat sebagai trend teknologi sementara kerana penggunaannya semakin mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan.
Sehubungan itu beliau berkata, Sarawak juga perlu mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital di seluruh negeri bagi memastikan peluang berkaitan teknologi tidak hanya tertumpu di kawasan bandar. -EDISI UKAS