Jangan Biarkan Bakat AI Luar Bandar Tercicir - Datuk Abdullah
KUCHING: Pembangunan kemahiran kecerdasan buatan (AI) perlu diperluas hingga ke sekolah luar bandar bagi memastikan bakat muda di kawasan berkenaan tidak tercicir dalam arus transformasi digital.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, kemudahan digital di sekolah luar bandar perlu dipertingkatkan seiring usaha Sarawak membangunkan ekonomi berasaskan teknologi.
Menurutnya, minat dan kreativiti terhadap teknologi tidak seharusnya dianggap hanya wujud dalam kalangan pelajar di kawasan bandar.
“Saya fikir kita juga perlu memberi perhatian kepada anak-anak di luar bandar, khususnya dari segi kemudahan digital di sekolah mereka, termasuk penyediaan peralatan seperti komputer riba dan sebagainya.
“Selain melaksanakan program seperti ini bagi mereka yang benar-benar berminat, kita juga perlu memupuk dan menyemai minat terhadap bidang ini dari peringkat akar umbi, bermula sejak di sekolah rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutupan Program ‘AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026’ di TEGAS Digital Village di sini pada Isnin.
Datuk Abdullah berkata, hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk meningkatkan kemudahan digital termasuk pembangunan makmal digital di sekolah rendah dan sekolah menengah perlu dilihat sebagai peluang untuk memupuk minat terhadap AI sejak peringkat awal.
Beliau yang juga Setiausaha Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memberitahu, pendedahan kepada teknologi perlu dimulakan di peringkat akar umbi supaya murid luar bandar turut mempunyai peluang mengenal, mencuba dan membangunkan kemahiran digital.
Tambah beliau lagi, penyediaan kemudahan digital yang lebih baik di sekolah luar bandar berpotensi membuka ruang kepada murid untuk meneroka bidang baharu tanpa dibatasi faktor lokasi. -EDISI UKAS