GEMA@KKDW Dekatkan Agensi Kerajaan Dengan Komuniti Melalui Sukan
KOTA SAMARAHAN: Aktiviti sukan menjadi antara pendekatan yang digunakan menerusi GEMA@KKDW Negeri Sarawak 2026 untuk mendekatkan agensi kerajaan dengan komuniti setempat dalam suasana lebih santai dan terbuka.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penglibatan agensi kerajaan dalam aktiviti bersama masyarakat penting bagi mewujudkan interaksi yang lebih dekat, selain membina hubungan yang lebih akrab di luar urusan rasmi.
Menurutnya, GEMA@KKDW bukan sekadar platform menyampaikan pelbagai inisiatif kepada masyarakat, tetapi turut menyediakan ruang untuk agensi kerajaan dan komuniti berinteraksi secara langsung menerusi aktiviti kemasyarakatan dan sukan.
“GEMA@KKDW ini bukan sahaja menyampaikan manfaat kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif, tetapi turut menjadi platform untuk kita bersama-sama beriadah, berinteraksi dan mengukuhkan hubungan.
“Yang penting ialah semangat kesukanan, kerjasama dan kebersamaan yang kita bina melalui aktiviti seperti ini,” katanya ketika berucap sebelum sepak mula di Padang Bola Sepak Kampung Tanjung Bundong, di sini, pada Sabtu.
Aksi persahabatan bola sepak berkenaan mempertemukan KKDW FC dengan pasukan KMKK Samarahan dan Asajaya, dengan KKDW FC muncul pemenang menerusi keputusan 4-1.
Datuk Rubiah turut menyempurnakan acara simbolik sepak mula sebelum menyampaikan Piala GEMA@KKDW Negeri Sarawak 2026 serta medal kepada pasukan yang bertanding.
Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam aktiviti seperti itu turut membantu mewujudkan ruang komunikasi yang lebih terbuka antara komuniti dan agensi kerajaan, sekali gus menyokong usaha memperkukuh penyampaian program pembangunan di peringkat akar umbi. -EDISI UKAS