RM120 Juta Peruntukan UNIFOR Untuk Rumah Ibadat & Sekolah Mubaligh
MIRI: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM120 juta menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) tahun ini bagi menyokong pembangunan rumah ibadat bukan Islam serta sekolah mubaligh di seluruh negeri.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, daripada jumlah tersebut, RM90 juta diperuntukkan bagi pembinaan, pembaikan dan penambahbaikan rumah ibadat, manakala RM30 juta lagi disediakan bagi pembangunan sekolah mubaligh.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan mencerminkan pendekatan Kerajaan Sarawak dalam memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat pelbagai agama, termasuk dalam menyediakan kemudahan keagamaan dan pendidikan yang lebih baik.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cek peruntukan UNIFOR bagi membantu keperluan penyelenggaraan dan operasi Pujut Baptist Church pada Ahad.
Adam berkata, sokongan terhadap rumah ibadat bukan Islam merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kemudahan keagamaan terus berada dalam keadaan baik dan selesa untuk digunakan oleh masyarakat.
Katanya, pendekatan tersebut turut mencerminkan keperluan untuk mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Sarawak yang mempunyai latar belakang agama dan budaya berbeza.
“Perpaduan yang kukuh merupakan asas kepada kemajuan Sarawak. Kita perlu bersama-sama mempertahankan keharmonian dan tidak membenarkan sentimen agama dieksploitasi untuk memecahbelahkan masyarakat,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan media sosial, khususnya dalam berdepan maklumat mengelirukan, penipuan dalam talian dan isu buli siber yang boleh menjejaskan hubungan sesama masyarakat.
Menurutnya, setiap maklumat yang diterima perlu disemak terlebih dahulu bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan kandungan yang berniat menimbulkan perpecahan.
Tambahnya, kestabilan dan keharmonian masyarakat penting bagi membolehkan Sarawak meneruskan agenda pembangunan dalam bidang baharu termasuk tenaga hijau, teknologi angkasa dan hidrogen, selain memperjuangkan hak serta kepentingan negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). -EDISI UKAS