Modal Insan, Penguasaan Teknologi Tonggak Pembangunan Sarawak
KUCHING: Pembangunan modal insan yang menguasai teknologi dan bidang sains perlu diberi keutamaan bagi memastikan Sarawak terus berkembang sebagai negeri yang dinamik dan maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, generasi muda perlu terus dibimbing termasuk dalam penguasaan teknologi bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri.
“Kalau kita mahu menjadi dinamik dan maju, kita perlu membimbing anak-anak muda kita, mendekatkan mereka dengan teknologi dan kita boleh berkembang dengan lebih pantas.
“Pertumbuhan ekonomi kita akan menjadi lebih pantas kerana kita tidak perlu mencipta semula sesuatu yang telah ada sebab semua data sudah ada.
“Apa yang penting ialah kita mengakses data kita, maklumat kita, untuk kita membangunkan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 di TEGAS Digital Village, di sini pada Ahad.
Tambahnya, anak Sarawak perlu digalakkan mengambil jurusan berkaitan teknologi dan sains bagi melahirkan sumber manusia yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, kekayaan negara bukan hanya bergantung kepada sumber semula jadi, sebaliknya keupayaan modal insan turut memainkan peranan penting dalam menentukan kemajuan.
Beliau mengambil Singapura sebagai contoh negara kecil yang berjaya menjadi antara negara terkaya di Asia menerusi kekuatan rakyatnya, selain tenaga kerja asing, dalam menguasai pelbagai sektor ekonomi.
Justeru katanya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber, namun sumber tersebut perlu dimanfaatkan dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki.
“Jadi kita berkehendakkan anak kita menjadi pandai, sebab itu kita beri pendidikan tinggi percuma sebanyak 64 program kepada anak Sarawak,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi TEGAS, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Setiausaha TEGAS, Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Bendahari TEGAS, Datuk Snowdan Lawan, Ahli-Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini