Sarawak Sasar Bina Kepakaran Proses REE, Elak Kekal Sebagai Pembekal Bahan Mentah
KUCHING: Sarawak perlu membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang metalurgi, sains dan teknologi bagi membolehkan unsur nadir bumi atau ‘rare earth element’ (REE) diproses serta diberikan nilai tambah di dalam negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penguasaan terhadap teknologi pemprosesan penting bagi memastikan potensi sumber REE dapat dimanfaatkan secara optimum dan tidak terhad kepada pengeluaran bahan mentah.
Menurutnya, Sarawak memerlukan modal insan berkemahiran tinggi termasuk saintis dan penyelidik yang mampu menguasai proses berkaitan REE serta menghasilkan produk bernilai tinggi daripada sumber berkenaan.
“Tetapi kita mesti ada kepakaran, sebab itu modal insan kita mesti bersedia dan kita mesti ada pengurusan sumber kita, saintis sumber kita mesti ada.
“Kalau tidak, kita tidak dapat menambah nilai sebab kita tidak tahu (caranya). Contohnya magnet, bagaimana hendak membuat magnet?
“Nombor dua yang saya sebut tadi, ‘Gallium Nitride’ juga adalah REE tetapi mesti ada prosesnya dan kita mesti belajar tentang proses itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 di TEGAS Digital Village, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, bidang metalurgi merupakan antara kepakaran yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan pemprosesan logam dan bahan mentah yang terdapat di Sarawak.
Katanya, penguasaan ilmu dan teknologi dalam bidang tersebut akan membolehkan Sarawak meningkatkan nilai tambah sumber, termasuk bahan yang berpotensi digunakan dalam pembangunan teknologi moden.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai saintis dan penyelidik tempatan bagi mengembangkan ilmu serta menjalankan kajian berkaitan sumber negeri.
Menurutnya, Sarawak mempunyai pelbagai sumber yang boleh dibangunkan, namun keupayaan modal insan merupakan faktor penting untuk memastikan sumber berkenaan dapat diterokai dan dimanfaatkan secara optimum.
“Kita di Sarawak ini, kalau boleh, saintis yang dapat menyumbangkan ilmu ini, memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) mengenai subjek ini kerana ia ada kaitan dengan sumber-sumber kita,” ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini