Sarawak Sasar Kuasai Data Sumber Negeri Menerusi Nanosatelit Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk melancarkan nanosatelit sendiri menjelang 2030 bagi mengumpul data berkaitan sumber negeri, sekali gus memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan ekonomi berasaskan data.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penguasaan teknologi satelit akan membolehkan Sarawak mengumpul data secara lebih sistematik untuk dikaji dan dimanfaatkan dalam perancangan negeri.
Menurutnya, usaha tersebut kini dirangka menerusi kerjasama antara Sarawak Space Agency dan Universiti i-CATS, termasuk pembangunan dua makmal bagi menjalankan penyelidikan berkaitan teknologi berkenaan.
“Sasaran kita ialah tahun 2030 di mana kita mahu melancarkan nanosatelit kita. Ia kecil, tetapi komponen penting ialah cip, pemprosesan cip dan ia akan berlayar di orbit kita.
“Satu lagi yang penting ialah kamera, kemudiannya komunikasi antara bumi dengan satelit sebab ia berada di orbit rendah, tidak terlalu tinggi, hanya berada di ruang angkasa rendah.
“Jadi ia akan berpusing dan mendapatkan data, dan data itu kita boleh simpan. Seterusnya kita kaji apa yang akan kita lakukan dengan data tersebut, termasuk sumber kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 di TEGAS Digital Village, di sini pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelas lanjut, nanosatelit berkenaan akan mengumpul data dari orbit rendah untuk disimpan dan dianalisis, termasuk maklumat berkaitan sumber yang dimiliki Sarawak.
Katanya, keupayaan mengumpul data sendiri penting bagi membolehkan Sarawak mempunyai kawalan lebih besar terhadap maklumat berkaitan negeri serta mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.
“Jadi kita ada bahan-bahan yang boleh melonjakkan ekonomi kita kerana ekonomi sekarang ini semuanya berdasarkan data,” kata beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini