Jerebu: Acara Besar Sarawak Ditangguhkan, Sambutan Hari Malaysia Bergantung Situasi Semasa
KUCHING: Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menangguhkan beberapa acara besar susulan keadaan jerebu dan cuaca panas yang melanda negeri ketika ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, keputusan tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga terutama bagi melindungi kesihatan dan keselamatan orang ramai.
“Kerajaan telah memutuskan supaya acara besar ditangguhkan iaitu Hari Kebangsaan, Sambutan Maulidur Rasul dan Program Sarawakku Sayang yang akan berlangsung dalam masa seminggu dua ini.
“Kita terpaksa tangguhkan, kerana terutama mereka yang menghidap asma, agak takutlah dalam keadaan cuaca seperti ini. Kita mahu mengelakkan masalah, jadi kita sudah tangguhkan semua kerana dua minggu ini kita tidak dapat laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 di TEGAS Digital Village, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 16 September masih bergantung kepada keadaan cuaca dan kualiti udara semasa.
Ujarnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan di Brunei Darussalam baru-baru ini.
Menurutnya, jerebu masih menjadi masalah terutamanya di bahagian Selatan Sarawak memandangkan sambutan tersebut bakal berlangsung di Kuching.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak akan terus memantau perkembangan jerebu dan keadaan cuaca sebelum menentukan tindakan selanjutnya berhubung penganjuran acara-acara akan datang. -EDISI UKAS