Bilangan Murid Kecil Bukan Alasan Untuk Sekolah Pedalaman Dipinggirkan
LUBOK ANTU: Bilangan murid yang kecil bukan alasan untuk sekolah di kawasan pedalaman dipinggirkan daripada menerima perhatian dan sokongan sewajarnya.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, sekolah pedalaman berdepan cabaran tersendiri berbanding sekolah di kawasan bandar, khususnya dari aspek kemudahan, akses dan kebajikan murid.
Menurutnya, jumlah murid yang kecil tidak seharusnya menentukan tahap perhatian yang diberikan kepada sesebuah sekolah kerana setiap murid mempunyai potensi untuk berjaya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Outreach PIBG SMK Lubok Antu ke SK Nanga Delok, Batang Ai, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Roy turut mengambil perhatian terhadap beberapa keperluan sekolah termasuk kemudahan yang dapat memudahkan pergerakan murid serta menyokong aktiviti pembelajaran dan kokurikulum.
Isu bekalan air di asrama turut diberi perhatian bagi memastikan kebajikan serta keselesaan murid terus terpelihara.
Sebagai sokongan terhadap usaha menambah baik kemudahan pendidikan di SK Nanga Delok, beliau mengumumkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2027 sebanyak RM100,000 untuk kerja menaik taraf sekolah berkenaan.
Selain itu, sebanyak RM15,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) turut diperuntukkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Delok.
Menurut Roy lagi, perhatian terhadap sekolah pedalaman perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan tanpa mengambil kira jumlah murid. -EDISI UKAS