Program Peningkatan Kemahiran Buka Peluang Pendapatan Buat Wanita Kampung Tungkah Lubok Manta
SEBUYAU: Golongan wanita di Kampung Tungkah Lubok Manta, Sebangan digalakkan memanfaatkan kemahiran yang dipelajari sebagai modal untuk meneroka peluang ekonomi dan menambah pendapatan keluarga.
Sehubungan itu, kira-kira 70 peserta menyertai Program Aktiviti Wanita anjuran Jawatankuasa Wanita Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sebuyau di Dewan Masyarakat Kampung Tungkah Lubok Manta di sini pada Sabtu.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran wanita serta pendedahan mengenai peluang dan bantuan Kerajaan Sarawak yang boleh dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan keluarga serta ekonomi setempat.
Antara pengisian utama ialah demonstrasi penyediaan ‘Aiskrim Sosej’ yang memberi peluang kepada peserta mempelajari kaedah menghasilkan hidangan kreatif dan mudah yang berpotensi dikembangkan sebagai produk jualan secara kecil-kecilan.
Selain kemahiran praktikal, peserta turut mengikuti sesi perkongsian mengenai bantuan Kerajaan Sarawak dan perkembangan pembangunan semasa.
Sesi tersebut memberi penerangan mengenai pelbagai kemudahan, bantuan dan inisiatif kerajaan yang tersedia untuk masyarakat, khususnya golongan wanita dan keluarga.
Pendekatan menggabungkan latihan kemahiran dengan maklumat berkaitan bantuan dilihat dapat membantu wanita luar bandar bukan sahaja mengenal pasti peluang yang tersedia, malah memahami bagaimana kemahiran yang dimiliki boleh dikembangkan kepada aktiviti ekonomi.
Penganjuran program berkenaan turut menyediakan ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, membina jaringan sesama wanita serta meningkatkan keyakinan untuk meneroka aktiviti keusahawanan berdasarkan kemahiran masing-masing. -EDISI UKAS