Penternakan Ayam Kampung Berpotensi Dikembangkan Di Kampung Karu
PADAWAN: Penternakan ayam kampung mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai satu bidang keusahawanan baharu dalam kalangan masyarakat Kampung Karu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, potensi tersebut wajar dimanfaatkan berikutan permintaan pasaran yang tinggi terhadap ayam kampung.
Menurutnya, penduduk kampung juga boleh meneroka konsep penternakan secara kontrak bersama pihak syarikat bagi membolehkan bidang tersebut dikembangkan secara lebih tersusun dan mampan.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Ceramah dan Kursus Penternakan Ayam Kampung anjuran Unit Peladang Kampung Karu di Balairaya Kampung Karu, pada Sabtu.
Tambahnya, Kampung Karu merupakan antara kampung terawal menunjukkan minat terhadap program penternakan ayam kampung dan berharap usaha tersebut dapat menjadi contoh kepada kampung lain di kawasan Puncak Borneo.
Dalam pada itu, Datuk Dr Jerip memberitahu, perkembangan pembangunan di kawasan berkenaan pada masa hadapan dijangka meningkatkan permintaan terhadap sumber makanan tempatan.
Sehubungan itu, penduduk kampung digalakkan mengambil peluang untuk menjadi pengeluar dan pembekal makanan seperti ayam, sayur-sayuran, ikan serta hasil pertanian lain bagi memenuhi keperluan pasaran setempat.
Beliau turut menggalakkan masyarakat mendapatkan latihan dan kemahiran dalam bidang pertanian moden seperti hidroponik dan akuaponik, selain memanfaatkan platform dalam talian untuk meluaskan pemasaran hasil pertanian dan penternakan.
Seramai 100 individu menyertai Ceramah dan Kursus Penternakan Ayam Kampung itu yang menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan penternakan ayam kampung kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS