SPeKTRUM Perkasa Penjaga Melalui Latihan, Sokongan Psikososial
KUCHING: Program Sokongan Penjagaan Insan Sejahtera (SPeKTRUM) menjadi platform memperkasa penjaga ahli keluarga menerusi latihan, pengetahuan, motivasi dan sokongan psikososial agar mereka dapat memberikan penjagaan yang lebih baik tanpa mengabaikan kesejahteraan diri sendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang uzur, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik atau terlantar bukan tugas mudah kerana memerlukan kemahiran, kesabaran kekuatan emosi dan sokongan yang berterusan.
Menurut beliau, aspek kebajikan penjaga juga perlu diberi perhatian kerana mereka sering menyesuaikan kehidupan sendiri demi memastikan ahli keluarga yang memerlukan penjagaan terus mendapat perhatian sewajarnya.
“Dalam banyak keadaan, penjaga terpaksa menyesuaikan kehidupan mereka demi memastikan insan tersayang terus terbela.
“Sumbangan mereka mungkin tidak selalu terlihat, tetapi nilainya sangat besar kepada keluarga dan masyarakat. Sebab itulah, apabila kita menjaga kebajikan individu yang memerlukan bantuan, kita tidak boleh melupakan kebajikan orang yang menjaga mereka. Penjaga juga perlu dijaga dan diperkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian program SPeKTRUM di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, di sini pada Ahad.
Dato Sri Nancy berkata, SPeKTRUM merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh ekosistem penjagaan negara, khususnya bagi menghadapi peningkatan keperluan penjagaan warga emas, OKU dan pesakit kronik.
Ahli Parlimen Santubong itu menegaskan, penjaga juga perlu mendapat sokongan melalui perkhidmatan penjagaan di rumah, penjagaan sementara, sokongan psikososial serta jaringan komuniti dan kerajaan.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerajaan turut meringankan beban keluarga menerusi penyediaan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT) kepada mereka yang memenuhi syarat.
“Sehingga Jun 2026, seramai 42,036 penerima di seluruh negara telah menerima bantuan berkenaan dengan jumlah perbelanjaan lebih RM119.5 juta.
“Di Sarawak, seramai 3,235 penerima telah mendapat manfaat melibatkan perbelanjaan lebih RM10.4 juta.
“Dalam tempoh yang sama, Bantuan Warga Emas (BWE) telah disalurkan kepada 170,133 penerima di seluruh negara, melibatkan perbelanjaan melebihi RM609 juta dan seramai 23,034 penerima adalah dari Sarawak, dengan perbelanjaan melebihi RM94.3 juta,” ujarnya.
Dato Sri Nancy berkata, pembangunan industri penjagaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, keluarga, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi latihan dan sektor swasta.
Jelasnya, bidang penjagaan juga perlu dilihat sebagai satu pekerjaan profesional yang mempunyai nilai dan masa hadapan, selain berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan sumber pendapatan khususnya kepada wanita.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Semawi Mohamad, Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif, JKM Azahari Mohd Daut, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sarawak Jimbau Munggat serta Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr Azizul Ismail. -EDISI UKAS