Program I-Suri Perkasa Wanita Dalam Aspek Keselamatan, Kesihatan Keluarga
DARO: Program Suricelik: Pemerkasaan Keselamatan dan Kesihatan Wanita Komuniti (I-Suri) menjadi platform memperkasa wanita dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan keselamatan serta kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penglibatan wanita dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan keluarga amat penting memandangkan mereka merupakan antara tonggak utama dalam pembentukan keluarga yang selamat dan berdaya tahan.
Menurut beliau, program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai keselamatan siber dan jenayah dalam talian, kemahiran bantuan kecemasan termasuk CPR serta keselamatan kebakaran domestik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program I-Suri anjuran Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Matu Daro dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Dewan Masyarakat Daro, di sini pada Sabtu.
Ahmad Johnie berkata, usaha memperluas pengetahuan dan kemahiran berkaitan keselamatan serta kesihatan dalam kalangan wanita dapat membantu membentuk komuniti yang lebih selamat, berilmu dan berdaya tahan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak komuniti di kawasan Matu dan Daro. -EDISI UKAS