RM1 Juta Peruntukan UNIFOR Disalur Kepada Tiga Rumah Ibadat Di Sarikei
SARIKEI: Tiga rumah ibadat di Sarikei menerima peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM1 juta bagi menyokong keperluan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan keagamaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penyaluran peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan serta keperluan institusi keagamaan terus diberi perhatian.
“Sumbangan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap penerima bagi memenuhi keperluan rumah ibadat masing-masing dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek UNIFOR di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Repok, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, kemudahan rumah ibadat yang digunakan masyarakat perlu berada dalam keadaan baik, selesa dan sesuai bagi menjalankan aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan.
Dalam pada itu, Gereja Methodist Wan Fu Tak Teck menerima RM100,000, manakala Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei dan Tokong Fu Gui Ting masing-masing menerima RM450,000.
Menurut Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, rumah ibadat bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menjalankan aktiviti keagamaan, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dan keharmonian dalam kalangan komuniti.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu penerima melaksanakan perancangan mereka dan seterusnya menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya. -EDISI UKAS