Sarawak Pertahan 'Takhta' Bola Tampar Wanita, Lelaki Raih Gangsa
SELANGOR: Skuad bola tampar wanita Sarawak mempertahankan takhta Bola Tampar Dewan Wanita Sukan Malaysia (SUKMA) apabila sekali lagi merangkul pingat emas selepas menewaskan tuan rumah Selangor 3-0 dalam aksi final SUKMA XXII Selangor 2026 di Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen 19, pada Ahad.
Kejayaan itu menyaksikan skuad wanita Bumi Kenyalang mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada SUKMA 2024, sekali gus meneruskan penguasaan mereka dalam acara berkenaan.
Dalam aksi final, Sarawak tidak memberi banyak ruang kepada Selangor apabila menguasai set pertama dengan kemenangan 25-15 sebelum meneruskan momentum untuk memenangi set kedua 25-16.
Skuad Bumi Kenyalang kemudian melengkapkan kemenangan bergaya menerusi keputusan 25-19 pada set ketiga, sekali gus mengesahkan kemenangan straight set 3-0.
Sementara itu, skuad lelaki Sarawak turut memastikan satu lagi pingat menjadi milik kontinjen negeri apabila meraih gangsa selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Sarawak memenangi set pertama 25-17, diikuti kemenangan 25-18 pada set kedua sebelum menamatkan cabaran Negeri Sembilan dengan keputusan 25-14 pada set ketiga.
Keputusan itu menyaksikan skuad bola tampar Sarawak menutup saingan SUKMA XXII Selangor 2026 dengan satu pingat emas dan satu pingat gangsa menerusi acara Bola Tampar Dewan Wanita dan Lelaki.
Perlawanan akhir itu turut disaksikan oleh Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalannya yang juga Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Mu'azamir Jili.-EDISI UKAS