Terjunan Kelima Kunci Emas, Nur Eilisha & Elvis Priestly Ungguli 10m Platform Seirama Campuran
SELANGOR: Terjunan kelima menjadi penentu buat gandingan Sarawak, Nur Eilisha Rania dan Elvis Priestly apabila aksi berisiko tinggi dengan kadar kesukaran 3.1 membolehkan mereka mengunci pingat emas acara 10 Meter Platform Seirama Campuran pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan pada Ahad.
Gandingan Bumi Kenyalang itu menampilkan aksi konsisten sepanjang lima pusingan sebelum menyempurnakan terjunan terakhir dengan kutipan 60.45 mata, markah tertinggi mereka dalam saingan berkenaan untuk muncul juara dengan keseluruhan 253.95 mata.
Kejayaan itu turut menyaksikan Elvis Priestly meraih pingat emas keempat peribadinya, manakala Nur Eilisha Rania menambah emas ketiga sepanjang temasya edisi kali ini.
Saingan menyaksikan Nur Eilisha dan Elvis memulakan kempen dengan tenang menerusi kutipan 43.80 mata pada terjunan pertama, sebelum menambah 45.60 mata pada terjunan kedua.
Momentum itu diteruskan pada pusingan ketiga apabila mereka meraih 57.60 mata sekaligus memberikan tekanan kepada pencabar.
Bagaimanapun, kedudukan mereka sedikit tergugat pada pusingan keempat apabila terjunan hanya menghasilkan 46.50 mata.
Tekanan tersebut tidak menjejaskan fokus gandingan Sarawak apabila mereka kembali mempamerkan aksi terbaik pada pusingan terakhir.
Terjunan terakhir disempurnakan dengan baik untuk menghasilkan 60.45 mata, sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik Sarawak.
Pingat perak pula diraih gandingan Wilayah Persekutuan, Lee Yiat Qing dan Nurqayyum Naz, manakala pasangan Selangor, Ayu Syuhaida dan Aeriel Riezqi meraih gangsa.-EDISI UKAS