Golongan Muda Perlu Fahami Kepentingan Pilihan Raya
BINTULU: Golongan muda perlu memahami kepentingan pilihan raya dan peka terhadap perkembangan semasa bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat sebagai rakyat serta pengundi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pilihan raya bukan sekadar berkaitan politik, sebaliknya keputusan yang dibuat memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan komuniti, kemudahan awam dan dasar kerajaan.
“Setiap undi mempunyai makna. Jangan fikir kurang satu undi saya tidak mengapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Komuniti: Penerangan Pilihan Raya di Dewan Muktamar Kampung Jabai, di sini pada Ahad.
Menurutnya, wakil rakyat berperanan membawa suara rakyat, membincangkan undang-undang, terlibat dalam penggubalan dasar serta membantu menangani isu dan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.
Sehubungan itu, Johnny Pang berkata, hak mengundi perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab untuk memilih wakil yang diyakini mampu bekerja, berkhidmat dan bertanggungjawab kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap maklumat yang diterima dan dikongsi menerusi media sosial, khususnya dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang mempercepatkan penyebaran maklumat.
“Banyak maklumat tidak bermaksud semuanya benar. Ada berita yang betul, ada yang palsu, ada yang lengkap dan ada juga yang diambil di luar konteks,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat perlu menyemak sumber dan kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat tidak tepat.
Katanya, pemimpin masyarakat turut mempunyai tanggungjawab memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat kerana mereka menjadi rujukan dan mendapat kepercayaan masyarakat. -EDISI UKAS