Kelly Teo Pecah Rekod Kejohanan, Raih Emas 1500m Gaya Bebas Wanita
SELANGOR: Perenang Sarawak, Kelly Teo Yao terus membuktikan kehebatannya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) apabila meraih pingat emas acara 1500 Meter Gaya Bebas Wanita sambil memecahkan rekod kejohanan dalam SUKMA XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, pada Ahad.
Kelly yang pernah mencipta sensasi dengan meraih enam pingat emas pada SUKMA 2024 mempamerkan renangan konsisten sepanjang perlumbaan sebelum menyentuh dinding penamat dengan catatan 17 minit 55.82 saat, sekali gus memperbaharui rekod kejohanan.
Beliau mendominasi saingan dengan kelebihan 6.05 saat ke atas pencabar terdekat, Tan Rui Nee dari Pulau Pinang yang meraih pingat perak dengan catatan 18:01.87 minit.
Pingat gangsa pula menjadi milik wakil tuan rumah, Chong Yuan Yi yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 18:03.20 minit.
Seorang lagi wakil Sarawak, Magdalene Lau Ing Siew turut memberikan saingan sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam keseluruhan dengan catatan 18:41.34 minit.
Kejayaan terbaharu itu meneruskan kecemerlangan Kelly di pentas SUKMA selepas muncul antara perenang paling menyerlah pada edisi 2024 dengan koleksi enam pingat emas, sekali gus memperkukuh sumbangannya kepada kontinjen Sarawak dalam saingan akuatik kali ini.-EDISI UKAS