‘STEM To The Stars’ Perluas Akses Sains, Teknologi Kepada Komuniti Pedalaman Baram
MIRI: Program ‘STEM To The Stars: Integrating Citizen Science and Space Exploration in the Heart of Borneo’ 2026 memperluas akses pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada komuniti pedalaman Baram.
Program anjuran Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dengan sokongan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur itu memberi pendedahan secara langsung kepada masyarakat luar bandar menerusi pendekatan sains warga, teknologi digital dan penerokaan angkasa.
Siri jelajah berkenaan bermula di Kampung Long Laput pada 17 hingga 18 Ogos lalu, menerusi kerjasama UiTM Pahang Library, Pustaka Negeri Sarawak Miri, American Corner Sarawak, Universiti Malaya dan Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau menyempurnakan pelancaran program berkenaan di Long Laput pada 17 Ogos.
Menerusi pendekatan ‘citizen science’, peserta didedahkan kepada kaedah pemerhatian, dokumentasi dan pengumpulan data saintifik menggunakan peralatan mudah alih serta teknologi digital.
Pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan asas berkaitan sains, malah terlibat secara praktikal dalam merekod dan memahami data berkaitan persekitaran mereka.
Antara pengisian utama ialah Galaxy Cruise, iaitu modul pengenalan astronomi dan angkasa yang memberi peluang kepada peserta meneroka pengetahuan berkaitan planet, bintang dan alam semesta.
Program itu turut mengetengahkan peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran komuniti yang menyediakan ruang untuk masyarakat meneroka ilmu sains, teknologi digital dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Penglibatan American Corner Sarawak di Miri pula menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan dan kerjasama STEM bagi memperluas peluang pembelajaran interaktif kepada komuniti luar bandar.
Program berkenaan seterusnya dijadualkan diperluas ke Long San, Baram dan Bario di Tanah Tinggi Kelabit bagi meneruskan pendedahan STEM kepada komuniti luar bandar.
Usaha itu diharap dapat meningkatkan literasi sains, memperluas akses pembelajaran STEM serta menggalakkan lebih banyak penglibatan masyarakat pedalaman dalam aktiviti sains dan teknologi. -EDISI UKAS