Persatuan Wanita Cina Limbang Jadi Penggerak Warisan, Perpaduan Masyarakat
LIMBANG: Persatuan Wanita Cina Limbang disaran terus memainkan peranan sebagai penggerak aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan bagi memelihara warisan serta memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, persatuan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan warisan budaya terus dihargai dan diwariskan kepada generasi muda.
Menurutnya, penglibatan wanita melalui organisasi yang tersusun turut membuka ruang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Persatuan seperti ini amat penting kerana ia menghimpunkan wanita dalam satu organisasi yang tersusun, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Perak Persatuan Wanita Cina Limbang sempena ulang tahun ke-25 penubuhan persatuan berkenaan, pada Sabtu.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata, penganjuran aktiviti kebudayaan seperti pertandingan pakaian tradisi masyarakat Cina dapat memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai warisan dan identiti masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata persatuan masyarakat turut berpotensi menjadi penggerak kepada pembangunan Limbang melalui penganjuran aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan dan pelancongan.
Katanya, program seperti pesta sukan air, regata dan pesta kebudayaan bukan sahaja mengetengahkan kepelbagaian budaya Limbang, malah mampu merancakkan sektor pelancongan tempatan.
Beliau yakin Limbang akan terus berkembang menjelang 2030 dengan sokongan semua lapisan masyarakat, termasuk persatuan yang aktif melaksanakan program untuk komuniti.
Sebagai tanda sokongan, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut menyumbang RM25,000 kepada Persatuan Wanita Cina Limbang bagi membantu pelaksanaan aktiviti persatuan pada masa akan datang.
Turut hadir, Presiden Persatuan Cina Bahagian Limbang, Datuk Wong King Hoong dan Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat. -EDISI UKAS