LIMBANG: Gymnasium Rakyat Limbang bakal diperkasa menerusi peruntukan RM280,000 bagi menyediakan kemudahan kecergasan yang lebih baik kepada masyarakat, sekali gus menyokong usaha membudayakan gaya hidup sihat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, peruntukan itu melibatkan RM250,000 bagi pembangunan kemudahan dan RM30,000 untuk pembelian peralatan.
Menurutnya, penyediaan kemudahan kecergasan yang lebih baik penting bagi menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti fizikal secara konsisten sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit tidak berjangkit.
“Apabila kita menuju ke arah negara maju, kita akan berhadapan dengan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Penyakit ini boleh dicegah jika kita mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga pemakanan serta kecergasan tubuh badan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Kelab Gym Rakyat Limbang, di sini pada Sabtu.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata, kesedaran terhadap penjagaan kesihatan perlu diterjemahkan melalui perubahan gaya hidup, khususnya dari aspek pemakanan, kecergasan fizikal dan penjagaan kesihatan secara berterusan.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu lagi, penyakit kencing manis antara yang perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan pelbagai organ badan sekiranya tidak dikawal dengan baik.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan minat terhadap aktiviti kecergasan, khususnya dalam kalangan golongan muda, menunjukkan pendekatan berasaskan komuniti mempunyai potensi besar dalam membudayakan kehidupan yang lebih sihat.
Sehubungan itu, beliau berharap Gymnasium Rakyat Limbang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat sebagai ruang untuk melakukan aktiviti kecergasan serta meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Presiden Kelab Gimnasium Rakyat Limbang, Sufian Mohat, Pegawai Unit Sukan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Zainal Abdul Talib, wakil Pejabat Residen Bahagian Limbang, Awangku Shahrizan Awangku Mahidin dan Setiausaha Kelab Gimnasium Rakyat Limbang, Nordin Osman.-EDISI UKAS