SELANGOR: Atlet gimnastik artistik Sarawak, Joachim Rafael Ambrose menyumbang pingat gangsa buat Bumi Kenyalang menerusi acara Individu Palang Tunggal Lelaki dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), pada Ahad.
Joachim mempamerkan aksi memberangsangkan dalam saingan akhir apabila mengumpul 11.200 mata, sekali gus berkongsi kedudukan ketiga bersama wakil Pahang, Muhammad Zharfan Mohd Shakri yang turut mencatat jumlah mata sama.
Pingat emas pula dikongsi dua gimnas selepas Wilson Yeoh Wei Sin dari Pulau Pinang dan Nor Adam Hazziq Bin Nor Azaha dari Kelantan masing-masing mengumpul 12.450 mata.
Wilson memperoleh 4.000 mata bagi tahap kesukaran dan 8.450 mata pelaksanaan, manakala Nor Adam Hazziq mencatat 4.100 mata tahap kesukaran serta 8.350 mata pelaksanaan.
Kejayaan Joachim meneruskan sumbangan pingat daripada arena gimnastik artistik buat kontinjen Sarawak pada temasya kali ini.-EDISI UKAS