RM600,000 Dana UNIFOR Diperuntuk Naik Taraf Dua Rumah Ibadat Di Miri
MIRI: Dua rumah ibadat bukan Islam di Miri menerima peruntukan keseluruhan RM600,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi melaksanakan kerja menaik taraf dan menambah baik kemudahan masing-masing.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Tokong Tua Pek Kong Miri menerima RM450,000, manakala Gereja BEM Baithani menerima RM150,000.
Menurut beliau, peruntukan kepada Tokong Tua Pek Kong Miri adalah untuk kerja menaik taraf, menambah baik serta membaiki bahagian atap tokong berkenaan.
Sementara itu, peruntukan kepada Gereja BEM Baithani pula adalah untuk menaik taraf kemudahannya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan peruntukan UNIFOR kepada kedua-dua rumah ibadat berkenaan, di sini pada Ahad.
Datuk Sebastian berkata, Tokong Tua Pek Kong Miri sebelum ini turut menerima peruntukan berjumlah keseluruhan RM2.3 juta menerusi beberapa saluran termasuk dana UNIFOR dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Piasau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan lebih RM55 juta daripada peruntukan UNIFOR tahun ini masih tersedia bagi menyokong pembangunan dan penambahbaikan rumah ibadat bukan Islam di seluruh Sarawak.
Katanya, rumah ibadat yang telah menerima peruntukan sebelum ini tetapi masih memerlukan dana tambahan boleh mengemukakan permohonan menerusi Fasa 2 peruntukan UNIFOR yang dijangka dilaksanakan pada akhir tahun ini.
Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut mengingatkan penerima supaya memastikan peruntukan digunakan sebaiknya serta laporan penggunaannya dikemukakan mengikut ketetapan.
Katanya, pengurusan peruntukan secara teratur penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan rumah ibadat dan komuniti.
Penyerahan cek kepada Gereja BEM Baithani turut disertai Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang. -EDISI UKAS