MIRI: Masyarakat digalakkan menjadikan pendermaan darah sebagai amalan berkala bagi membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pendermaan darah merupakan satu bentuk sumbangan yang mudah namun mampu memberi impak besar kepada kehidupan pesakit, terutamanya dalam situasi kritikal.
Katanya, setiap penderma memainkan peranan penting sebagai ‘wira tanpa nama’ kerana darah yang disumbangkan boleh menjadi harapan kepada mereka yang memerlukan.
“Usaha menderma darah bukanlah satu aktiviti kebajikan yang dilakukan sekali sahaja.
“Lebih ramai individu yang layak perlu menjadikannya sebagai satu amalan secara berkala demi menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program A Gift of Life Blood Donation di Pusat Beli-Belah Boulevard, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian berkata penglibatan sektor korporat dan media penting dalam memperluas kesedaran mengenai aktiviti kebajikan serta isu kesihatan awam.
Menurutnya, kerjasama antara pihak korporat, media, institusi perubatan dan masyarakat dapat memperluas impak usaha kebajikan kepada komuniti.
“Program derma darah hari ini merupakan contoh yang baik. Pihak korporat, media, institusi perubatan dan masyarakat bersama-sama memberikan sokongan dan kerjasama,” katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan muda mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan seperti pendermaan darah bagi memupuk sikap prihatin serta semangat menyumbang kepada masyarakat.
Pada masa sama, beliau menasihati individu yang pertama kali menderma darah supaya tidak berasa takut kerana proses pendermaan hanya dilakukan selepas penderma memenuhi syarat kelayakan dan menjalani pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan di peringkat komuniti bagi membudayakan amalan pendermaan darah serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingannya. -EDISI UKAS