UNIFOR Salur Dana Bantu Atasi Kekurangan Parkir Di Gereja Methodist Permyjaya
MIRI: Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) membantu mengatasi kekurangan tempat letak kereta di Gereja Methodist Permyjaya menerusi peruntukan RM150,000 untuk menaik taraf parkir sedia ada serta membina ruang parkir baharu.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tempat letak kereta yang mencukupi merupakan antara keperluan penting bagi rumah ibadat, terutamanya apabila jumlah jemaah semakin bertambah.
“Banyak gereja menghadapi masalah kekurangan tempat letak kereta maka, kita cuba membantu menyelesaikan keperluan seperti ini secara berperingkat mengikut keutamaan dan kemampuan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan cek peruntukan UNIFOR kepada Gereja Methodist Permyjaya, di sini pada Ahad.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rumah ibadat pelbagai agama melalui penyediaan serta penambahbaikan kemudahan dan prasarana secara berperingkat.
Katanya, pendekatan tersebut turut mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan keharmonian dan toleransi antara agama terus dipelihara di negeri ini.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee berharap kemudahan yang dinaik taraf menerusi peruntukan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga gereja dan masyarakat setempat.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kemudahan tersebut agar terus berada dalam keadaan baik dan dapat digunakan untuk kepentingan komuniti. -EDISI UKAS