Penerima Peruntukan UNIFOR Perlu Segera Laksana Projek, Kemuka Laporan
BINTULU: Rumah ibadat yang menerima peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) disaran segera melaksanakan projek yang diluluskan serta mengemukakan laporan penggunaan dana sebelum memohon bantuan seterusnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penerima perlu memastikan peruntukan yang diterima dimanfaatkan sepenuhnya dan pelaksanaan projek diselesaikan sebelum mengemukakan permohonan baharu bagi keperluan lain.
Katanya, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan UNIFOR secara berterusan bagi membantu memenuhi keperluan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri.
“Jadi, saya harap anda boleh memanfaatkan dana ini dan menghantar akaun anda dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan peruntukan UNIFOR kepada Persatuan Penganut Kristian Pengharapan Bintulu (Hope Bintulu), di sini pada Ahad.
Menurutnya, Hope Bintulu menerima peruntukan menerusi permohonan pertama kepada UNIFOR bagi menyokong pembangunan gereja berkenaan.
Beliau turut menggalakkan pihak gereja mengemukakan permohonan bagi keperluan lain pada masa akan datang, termasuk penambahbaikan kemudahan seperti sistem pencahayaan dan sistem bunyi.
Sementara itu, dalam program berasingan di St Thomas Parish Bintulu, beliau turut menyampaikan peruntukan UNIFOR kepada gereja berkenaan bagi menyokong keperluan pembangunan dan kemudahannya.
Beliau berkata, sokongan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan keperluan masyarakat pelbagai agama diberi perhatian secara inklusif.
Katanya, usaha tersebut penting bagi mengekalkan keharmonian masyarakat serta memastikan pembangunan Sarawak dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. -EDISI UKAS