Kewarganegaraan Mona Buka Peluang Masa Depan Keluarga
MIRI: Kejayaan Mona Julius memperoleh kewarganegaraan Malaysia berstatus “K” membawa perubahan besar kepada kehidupan keluarganya apabila status dokumentasi yang diselesaikan itu kini membuka laluan kepada urusan rasmi serta dokumentasi dua anaknya.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata kejayaan berkenaan membuktikan kepentingan usaha berterusan membantu penduduk tempatan yang berdepan isu dokumentasi dan kewarganegaraan.
Menurut beliau, permohonan Mona sebelum ini dikemukakan selepas suaminya, Jonathan Ngo mendapatkan bantuan berikutan isterinya masih belum memiliki kad pengenalan kerana tidak didaftarkan oleh ibu bapanya sebelum ini.
“Dengan bantuan rakan sekerja saya, Chia, kami membantu menguruskan permohonan berkenaan sehingga akhirnya Mona berjaya memperoleh kewarganegaraan Malaysia berstatus ‘K’,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat SUPP Piasau, pada Isnin.
Datuk Sebastian Ting berkata, kejayaan itu amat bermakna kerana pemilikan dokumen pengenalan diri yang sah bukan sahaja memudahkan urusan rasmi Mona, malah memberi kesan positif kepada seluruh keluarganya.
Sementara itu, Jonathan menzahirkan penghargaan kepada Datuk Sebastian Ting atas bantuan yang diberikan sepanjang proses permohonan kewarganegaraan berkenaan.
Beliau berkata, selepas isterinya memperoleh kad pengenalan, pelbagai urusan keluarga kini menjadi lebih lancar dan mudah, termasuk urusan pendidikan anak-anak serta perjalanan ke luar negara.
Dalam pada itu, kejayaan Mona turut mencerminkan kepentingan usaha menangani isu penduduk tempatan yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri dan status kewarganegaraan yang jelas.
Operasi Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diaktifkan semula pada Julai 2023 melalui kerjasama strategik antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Sarawak, di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti terus memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan isu berkaitan dokumentasi dan kewarganegaraan.
Kes Mona menjadi antara contoh bahawa penyelesaian isu dokumentasi dapat memberi kesan besar kepada kehidupan sesebuah keluarga, termasuk membuka peluang kepada generasi seterusnya untuk menikmati kemudahan serta hak sebagai rakyat Malaysia.-EDISI UKAS