Aktiviti Nyanyian Ceriakan Kehidupan, Erat Hubungan Warga Emas
MIRI: Aktiviti nyanyian bukan sekadar hobi, malah mampu membawa kegembiraan serta menyediakan ruang khususnya kepada warga emas untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama mereka.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran aktiviti seumpama itu turut memberi peluang kepada warga emas memperlihatkan bakat, sekali gus menjadikan kehidupan lebih bermakna dan ceria.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik penganjuran pertandingan nyanyian warga emas bagi menggalakkan penglibatan golongan berkenaan dalam aktiviti yang bermanfaat.
“Perkara yang paling penting pada hari ini bukanlah kemenangan atau kekalahan, tetapi penglibatan dan proses yang menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Kapitan Chan Chai Ping pada Pertandingan Nyanyian Warga Emas di Kelab GCM Miri, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Sebastian berharap pertandingan seumpamanya dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada lebih ramai warga emas mengambil bahagian serta mendapat kegembiraan menerusi aktiviti nyanyian.
Pada majlis tersebut, peruntukan sebanyak RM5,000 turut diumumkan bagi pelaksanaan aktiviti kelab nyanyian berkenaan. -EDISI UKAS