500km Jalan Balak Kakus Dikenal Pasti Untuk Dinaik Taraf
TATAU: Kira-kira 500 kilometer (km) jalan balak di kawasan Kakus dikenal pasti untuk dinaik taraf secara berperingkat bagi memperkukuh jaringan perhubungan dan memudahkan akses penduduk di kawasan pedalaman.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada kira-kira 5,700km jalan balak di seluruh Sarawak yang dikenal pasti untuk dinaik taraf.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan memerlukan perancangan rapi dan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi serta keadaan muka bumi di kawasan pedalaman.
“Pada Ogos 2025, XPDC 2.0 Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi mengenal pasti beberapa jalan balak dan jalan bekas balak di pedalaman Kakus.
“Antara jalan yang dikenal pasti termasuk Jalan Penyarai, Jalan Sungai Muput, jalan ke Ulu Kakus, Jalan Sangan-Nanga Merit dan Jalan Nanga Takan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Kecil Luar Bandar (MRP)-Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di Rumah Ngalai Nanang, Nanga Temajai, Anap, di sini, pada Ahad.
Dato Sri John Sikie berkata, masih terdapat banyak kawasan di Kakus yang belum mempunyai jaringan jalan raya yang baik.
Justeru, katanya, peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan berkenaan turut dimanfaatkan untuk kerja menaik taraf jalan yang rosak.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap ADUN diperuntukkan RM1 juta setahun di bawah PPRMS bagi membantu membaik pulih rumah rakyat yang memerlukan.
Projek PPRMS yang dirasmikan pada majlis berkenaan melibatkan kerja-kerja menukar atap dan siling rumah panjang sepanjang 16 pintu di Rumah Ngalai Nanang menggunakan peruntukan ADUN Kakus.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta menyatakan sokongan terhadap usaha pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Kakus, termasuk kerjasama antara wakil rakyat bagi memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus membantu masyarakat setempat, termasuk dalam aspek pembangunan dan pendidikan anak Selangau yang melanjutkan pengajian.
Pada majlis sama, cek Projek MRP berjumlah RM95,000 turut diserahkan kepada 45 Biro Wanita di bawah peruntukan Ahli Parlimen Selangau.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Pandang Semat. -EDISI UKAS