RM1.13 Juta MRP Disalur Kepada 52 Penerima Di Dalat
DALAT: Sebanyak RM1,129,460 menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (MRP) ADUN Dalat Tahun 2026 Fasa 3 disalurkan kepada 52 penerima bagi menyokong pelaksanaan pelbagai keperluan komuniti setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan komuniti perlu bergerak seiring dengan usaha membentuk masyarakat yang bersatu, prihatin dan saling menyokong.
Katanya, tema Sambutan Maulidur Rasul ‘Ummah Maju Makmur’ membawa pengertian lebih luas kerana kemajuan tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal dan pencapaian ekonomi, tetapi turut merangkumi kekuatan hubungan serta nilai kemasyarakatan.
“Pembentukan ummah yang maju dan makmur bermula daripada institusi keluarga yang baik, komuniti yang bersatu serta masyarakat yang saling menyokong tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Dalat Tahun 1448H/2026M di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Selasa.
Menurutnya, semangat kebersamaan perlu diterjemahkan melalui tindakan seharian seperti membantu jiran, menyantuni golongan memerlukan, menjaga keharmonian komuniti serta mendidik generasi muda dengan nilai yang baik.
Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul juga wajar dijadikan ruang untuk umat Islam menghayati akhlak dan teladan Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar memperingati kelahiran Baginda.
Sambutan berkenaan turut diserikan dengan Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul yang melibatkan dua kategori.
Masjid An-Nur Kampung Balan muncul johan kategori Masjid, Surau dan JKKK, manakala Pejabat Pendidikan Daerah Dalat menjuarai kategori Agensi Kerajaan, Swasta, NGO dan Sekolah.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyeru masyarakat supaya terus memperbanyakkan selawat serta menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam membina keluarga dan komuniti yang harmoni.
Katanya, usaha memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan perlu diteruskan secara berterusan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh masyarakat tanpa ada golongan yang tersisih.
Turut hadir, Wakil Residen Mukah Mohammad Madzihi Mohd Musa, Wakil Pegawai Daerah Dalat Nurul Khairun Nisa Kamaruddin dan Temenggong Bahagian Mukah Temenggong Hendi Suhai. -EDISI UKAS