KUCHING: Sebanyak RM8 juta diperuntuk di bawah Belanjawan MADANI 2026 kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperkukuh sektor penjagaan, termasuk usaha melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030.
Menteri KPWKM, Dato Sri Nancy Shukri berkata, daripada jumlah itu, RM3 juta diperuntukkan bagi latihan penjaga, manakala RM5 juta lagi untuk pembangunan Piawaian Penjagaan.
“Latihan ini penting supaya penjaga mempunyai ilmu dan kemahiran yang betul dalam aspek keselamatan, komunikasi, pengurusan tingkah laku, serta keperluan fizikal dan emosi individu yang dijaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Sektor Penjagaan KPWKM dan Kempen Penjagaan 2026 bertemakan ‘Ilmu Menjaga, Kasih Dirasa’ di sini, pada Isnin.
Menurut Dato Sri Nancy, usaha itu penting bagi membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih profesional dan memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dengan Malaysia dijangka beralih ke fasa ‘Negara Tua’ menjelang 2036 dengan penduduk berumur 60 tahun dan ke atas dijangka melebihi 15 peratus.
Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan RM5 juta bagi pembangunan piawaian penjagaan bertujuan memastikan wujud satu tanda aras kualiti yang jelas, konsisten dan diyakini.
Katanya, KPWKM mengambil inisiatif membangunkan Piawaian Penjagaan Nasional Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan setiap individu menerima penjagaan yang selamat, berkualiti, berperikemanusiaan serta menghormati maruah mereka.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Dato' Hanani Sapit, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Nordina Haron, Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Masyarakat KPWKM Asmar Asmadi Abdullah Sani, Pengarah Institut Sosial Malaysia Norhaslinda Mohd Sibi, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad serta pegawai-pegawai kanan kementerian, agensi dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). -EDISI UKAS