Kut Muara 3, UNIMAS 1 Juara Baleh-Kapit Rakit Safari Edisi Ke-29
KAPIT: Pasukan Kut Muara 3 dan UNIMAS 1 masing-masing muncul juara Kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka pada Baleh-Kapit Rakit Safari Edisi Ke-29 yang berlangsung di sini, pada Ahad.
Kut Muara 3 mengungguli Kategori Lelaki Terbuka dengan catatan masa 4 jam 28 minit 32 saat, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.
Tempat kedua dimenangi Men UNIMAS Rafting Club dengan catatan masa 5 jam 19 minit 3 saat dan menerima RM4,000, manakala JKKK Kerangan Laih di tempat ketiga dengan masa 5 jam 37 minit 3 saat serta membawa pulang RM2,000.
Bagi Kategori Wanita Terbuka, UNIMAS 1 muncul juara dengan catatan masa 5 jam 24 minit dan menerima hadiah RM6,000.
Kut Muara 1 menduduki tempat kedua dengan masa 5 jam 27 minit dan menerima RM4,000, manakala UNIMAS 2 di tempat ketiga dengan catatan masa 5 jam 46 minit serta menerima RM2,000.
Pertandingan edisi ke-29 itu melibatkan penyertaan 38 rakit dan berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 orang di sekitar Jeti Rumah Jonas Spata dan Terminal Wharf Ekspres Kapit.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat, bersama ADUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai dan ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman, Pegawai Daerah Bukit Mabong, Jabang Juntan serta ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS