Nur Aleesya Bangkit Dalam Perlawanan Semula, Raih Emas Silambam
SELANGOR: Selepas keputusan awal memihak kepada lawan, atlet silambam Sarawak, Nur Aleesya Zahierah Sali bangkit dalam perlawanan semula untuk menewaskan wakil Pulau Pinang sekali gus merangkul pingat emas acara Poruthal Individu Wanita 60 hingga 70 kilogram dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Stadium MBSJ Serdang Jaya, pada Isnin.
Kemenangan penuh dramatik itu hadir selepas protes rasmi yang dikemukakan pengurusan kontinjen Sarawak diterima jawatankuasa teknikal kejohanan, sekali gus membolehkan perlawanan semula diadakan bagi menentukan pemenang acara berkenaan.
Dalam perlawanan akhir sebelumnya, keputusan tidak rasmi menyaksikan Nur Aleesya tewas tipis 31-33 kepada wakil Pulau Pinang, Dharnisha Balaguru.
Susulan keputusan protes tersebut, kedua-dua atlet kembali ke gelanggang bagi mengharungi perlawanan semula.
Nur Aleesya tidak mensia-siakan peluang itu apabila tampil lebih tenang dan kemas untuk mengawal rentak pertarungan sebelum menewaskan Dharnisha 12-9.
Keputusan tersebut sekali gus menobatkan Nur Aleesya sebagai pemenang pingat emas, manakala Dharnisha terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.-EDISI UKAS