RM2.34 Juta Diperuntuk Lebar Persimpangan Jalan Ling Kai Cheng
SIBU: Persimpangan Jalan Ling Kai Cheng yang menghubungkan jalan berkenaan dengan Jalan Ulu Sungai Merah akan dilebarkan menerusi projek naik taraf fasa kedua bernilai RM2.34 juta bagi melancarkan aliran trafik dan mengurangkan masa menunggu pengguna jalan raya.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerja pelebaran itu melibatkan jajaran kira-kira 200 meter di kawasan persimpangan itu.
“Di simpang ini nanti, ia tidak lagi mempunyai dua lorong, sebaliknya empat lorong. Dua lorong akan digunakan untuk kenderaan yang bergerak terus, manakala dua lagi lorong disediakan untuk kenderaan yang membelok ke kanan, dengan satu lorong dikhaskan untuk membuat pusingan U,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tersebut, di sini pada Selasa.
Menurut Datuk Michael Tiang, kerja berkenaan dijangka bermula September ini dan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan.
Beliau menambah, reka bentuk persimpangan berkenaan akan menyerupai persimpangan di Jalan Woon Soon Kai.
“Saya telah menerima maklum balas daripada penduduk di Jalan Kandis, Jalan Sena dan Jalan Camar dan mereka memberikan maklum balas yang sangat positif.
“Mereka berkata selepas simpang itu dilebarkan, masa menunggu menjadi lebih singkat dan aliran trafik menjadi lebih lancar,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu turut meminta pengguna jalan raya supaya bersabar sepanjang tempoh pembinaan kerana kerja berkenaan dijangka menyebabkan sedikit kesulitan.
Sementara itu, Datuk Michael berkata, keseluruhan Jalan Ling Kai Cheng sepanjang 1.2 kilometer telah dinaik taraf tahun lalu dengan kos lebih RM3.7 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata keseluruhan jajaran Jalan Lilin sepanjang kira-kira 500 meter turut akan dinaik taraf dengan peruntukan RM350,000.
“Projek ini dijangka mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk disiapkan, berbanding tempoh standard kira-kira empat bulan,” katanya.- EDISI UKAS