Datuk Michael Tiang Sedia Taja Pemeriksaan Kesihatan Wartawan SJA
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee bersedia menaja program pemeriksaan kesihatan untuk ahli Persatuan Wartawan Sibu (SJA) secara tahunan sebagai usaha memastikan golongan wartawan sentiasa peka terhadap tahap kesihatan masing-masing.
Beliau berkata, langkah itu merupakan usaha yang boleh dilakukannya dari aspek kesihatan selain menghargai komitmen wartawan dalam menjalankan tugas menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Saya telah melihat bagaimana anda semua begitu komited terhadap tugas, hari demi hari.
“Malah pada waktu malam dan awal pagi, anda perlu bekerja secara profesional, memberikan laporan terkini serta fakta yang tepat kepada masyarakat.
“Anda berkhidmat kepada masyarakat melalui tugasan anda, dan kami amat menghargainya,” katanya ketika berucap pada Program Pemeriksaan Kesihatan SJA 2026 di PATHLAB Sibu, pada Isnin.
Datuk Michael turut bercadang menaja aktiviti pickleball untuk ahli SJA sebagai langkah menggalakkan gaya hidup aktif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, aktiviti fizikal bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan, malah dapat merangsang penghasilan endorfin yang menyumbang kepada kesejahteraan diri.
Sementara itu, program berkenaan menyediakan pakej pemeriksaan kesihatan bernilai RM8,000 untuk 40 ahli SJA, dengan kira-kira 20 ahli telah menjalani pemeriksaan pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi SJA Florence Nervyn dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Aktiviti Pemeriksaan Kesihatan SJA Hii Hong Wee. -EDISI UKAS