KUCHING: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia terus memperkasa pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pembinaan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir seiring dengan perkembangan pesat industri di Sarawak.
Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pembangunan bakat TVET perlu bergerak seiring dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan pertumbuhan industri bagi memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi mencukupi.
“Sarawak kini berada dalam fasa pecutan pembangunan dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur utama, sekali gus memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Graduasi Ke-12 Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Wilayah Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak (CCCS), di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato Ir Yusuf berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET pembinaan kini melebihi 88 peratus, sekali gus membuktikan program latihan yang dilaksanakan memenuhi keperluan sebenar industri.
Menurutnya, sehingga tahun 2025, seramai 270,405 pelatih telah dilatih menerusi Program Latihan Kompetensi Kemahiran (LKK) CIDB Malaysia.
Pada majlis graduasi itu, seramai 150 graduan diraikan selepas berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran pembinaan.
Anugerah Ikon TVET Pembinaan turut disampaikan kepada dua alumni cemerlang iaitu Tino Jenis dan Wilson Lo sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan mereka membina kerjaya dalam industri pembinaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Selain penyampaian Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP), majlis turut menyaksikan penyerahan surat lantikan kepada tenaga pengajar profesional serta penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik industri.
Turut dilancarkan Kursus Telekomunikasi yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara ABM Wilayah Sarawak, Kejuruteraan Rasshin dan CNERGY bagi menyokong pembangunan infrastruktur digital Sarawak. -EDISI UKAS