SUKMA Selangor 2026 Labuh Tirai, Sarawak Tamat Saingan Di Kedudukan Keempat
SELANGOR: Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 secara rasmi melabuhkan tirai pada Isnin selepas 10 hari menyaksikan atlet muda dari seluruh negara berentap membawa cabaran kontinjen masing-masing dalam 37 jenis sukan.
Kontinjen Sarawak menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dengan kutipan 41 pingat emas, 40 perak dan 62 gangsa, menjadikan keseluruhan 143 pingat.
Tuan rumah Selangor dinobatkan juara keseluruhan selepas mendominasi pungutan pingat dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa untuk keseluruhan 245 pingat.
Wilayah Persekutuan muncul naib juara dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, berjumlah 157 pingat, manakala Terengganu menduduki tempat ketiga menerusi kutipan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa dengan keseluruhan 123 pingat.
Acara kemuncak kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah Atlet Wanita Terbaik, Anugerah Atlet Lelaki Terbaik dan Anugerah Juara Keseluruhan, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang temasya.
Majlis mencapai kemuncak menerusi Titah Diraja dan pengisytiharan penutupan SUKMA XXII Selangor 2026, sekali gus menandakan berakhirnya secara rasmi edisi ke-22 temasya sukan dwitahunan negara itu.
Penutupan temasya disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Mengetuai kontinjen Sarawak dalam majlis penutupan itu ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
SUKMA 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos menghimpunkan lebih 12,000 atlet dan pegawai daripada kontinjen seluruh negara termasuk Brunei Darussalam dengan pertandingan berlangsung di venue sekitar Selangor.
Selepas Selangor, Kelantan bakal menyambut keluarga SUKMA pada 2028 sebagai tuan rumah edisi seterusnya.-EDISI UKAS