SK Agama Sibu Juara Keseluruhan Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul Sibu
SIBU: Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Sibu muncul juara keseluruhan Pertandingan Sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu 1448H/2026M yang berlangsung di Masjid An-Nur, Sibu, pada Selasa.
Kemenangan itu turut menyaksikan SK Agama Sibu menjuarai Kategori C (Sekolah Rendah), sekali gus mengungguli 59 kontinjen yang menyertai pertandingan berkenaan.
SK Abang Ali dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga keseluruhan.
Bagi kategori lain, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) muncul juara Kategori A (IPT/Pusat Kemahiran), diikuti Sekolah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek bagi Kategori B dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi Kategori D.
Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak menjuarai Kategori E, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Bahagian Sibu (Kategori F), Masjid Al-Qadim Sibu (Kategori G), Kompleks Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang (Kategori H) dan Kumpulan Sanyan (Kategori I).
Kumpulan Sanyan turut menerima Anugerah Kontinjen Terbaik, manakala Anugerah Khas Peserta Terawal Menghantar Sepanduk dimenangi Masjid Babusalam Kampung Jeriah.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee.
Sambutan Maulidur Rasul peringkat Bahagian Sibu tahun ini tidak melibatkan acara perarakan berikutan faktor jerebu yang melanda kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, pengisian keagamaan tetap diteruskan menerusi solat Maghrib dan Isyak berjemaah, solat hajat, bacaan Surah Yaasin, zikir marhaban dan doa kesyukuran.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sibu Rafeah Buang serta Pengerusi Jawatankuasa Masjid An-Nur Sibu Ghaiazra Mohammad Ali. -EDISI UKAS